Monday, March 21, 2011

ASSALAMUALAIKUM....
 
PENYERTAAN JPAM DALAM ICDO.....

Menyingkap sejarah penubuhan International Civil Defence Organisation (ICDO), pada asasnya pertubuhan ini diwujudkan pada tahun 1931 di Paris dengan nama 'Lieux de Geneve Association' atau 'Geneva Zones' bagi tujuan mewujudkan kawasan nuetral bagi penduduk awam mendapatkan perlindungan dalam masa peperangan.
Berikutan itu, pada tahun 1954, persidangan antarabangsa pertama 'First World Civil Defence Conference' diadakan di Berlin, Jerman dan persidangan kedua pada tahun 1957 di Florence, Itali bagi mengusulkan peranan pertahanan awam secara menyeluruh di peringkat antarabangsa. Pada Januari 1958 pula, International Association of Geneva Zones ditukar nama kepada International Civil Defence Organisation dengan status baru yang membuka keahlian kepada negara, badan kerajaan atau organisasi luar menyertai pertubuhan ini.


Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang telah ditubuhkan pada 24 Mac 1952 melalui Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221) telah menyertai pertubuhan ini melalui dokumen Keahlian Tetap yang telah ditandatangani oleh YB. Dato Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri di Geneva pada 7 Mei 2010 untuk memantapkan kredibiliti JPAM sebagai sebuah institusi menyelamat yang terunggul di Malaysia. Justeru itu, JPAM dengan rasminya menjadi ahli tetap pertubuhan ini pada 6 Jun 2010, satu pencapaian dan garapan yang cukup baik dalam meneruskan tradisi Jabatan ini dalam merialisasikan misi dan visi JPAM untuk terus gah dan mara dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat. JPAM bukan lagi sebuah Jabatan yang boleh diperlekehkan kerana dalam tempoh usia yang menjangkau 59 tahun, tahun ini merupakan tahun keramat kerana nama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia tercatat di dalam lembaran keahlian ICDO.



Melalui penyertaan di dalam pertubuhan ini pelbagai faedah yang diperolehi yang mana antaranya adalah hak untuk mengundi dan memegang jawatan dalam Majlis Eksekutif dalam Persidangan Tahunan ICDO, hak untuk menerima pakai resolusi atau deklarasi yang digubal oleh ICDO mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pertahanan Awam. Selain itu. JPAM juga akan mendapat keistimewaan untuk menerima latihan, kursus dan kemahiran yang ditawarkan oleh mana-mana institusi pertahana awam negara anggota seluruh dunia serta menyertai aktiviti operasi bantuan bencana dan aktiviti program pertahanan awam yang dianjurkan oleh ICDO atau negara anggota yang menghadapi situasi bencana.



Seterusnya melalui pertubuhan ini juga JPAM akan mendapat khidmat kepakaran teknikal atau spesifikasi teknikal khususnya mengenai sistem perlindungan awam (public shelter), sistem amaran awam (public warning system) dan lain-lain pembangunan strategik Pertahanan Awam. Keanggotaan dalam ICDO ini juga dapat membuka dan menerokai jalinan kerjasama (networking) antara JPAM dengan negara anggota dan pertubuhan profesional yang bernaung di dalam ICDO di samping dapat mengangkat imej dan membina kekuatan JPAM untuk melaksanakan fungsi bertaraf universal Pertahanan awam di Malaysia. JPAM akan diberi perlindungan berdasarkan International Humanitarian Law di bawah Artikel 51 dan Artikel 52 Protokol 1 Konvensyen Geneva 1949 daripada ditangkap, diserang atau dicederakan semasa menjalankan tugas pertahanan awam dalam masa peperangan ataupun aman.



Keahlian JPAM dalam ICDO ini secara langsung memulakan langkah mengantarabangsakan JPAM selaras dengan piawaian organisasi yang sama di seluruh dunia. Ini selanjutnya akan membolehkan JPAM melaksanakan semua 15 teras dan peranan pertahanan awam berdasarkan statut Konvensyen Geneva yang memberi tanggungjawab kepada organisasi Pertahanan awam untuk melaksanakan tugas seperti berikut:-


a. Memberi amaran awal;
b. Melaksanakan evakuasi atau pengungsian;
c. Mengurus pusat perlindungan (shelters);
d. Mengurus langkah-langkah dalam terputus bekalan dan tenaga;
e. Melaksanakan kerja-kerja menyelamat;
f. Mengadakan perkhidmatan perubatan termasuk pertolongan cemas dan bantuan keagamaan;
g. Melakukan tugas melawan kebakaran;
h. Mengadakan pengesanan dan penandaan tempat merbahaya;
i. Mengambil langkah perlindungan dan pembersihan;
j. Mengurus penyediaan kemudahan dan bekalan kecemasan;
k. Mengadakan bantuan pengekalan keselamatan dan keamanan di tempat musibah;
l. Mengadakan pembaikan kecemasan kemudahan awam;
m. Mengurus pengebumian orang mati;
n. Memberi bantuan memelihara bahan harta untuk ikhtiar hidup; dan
o. Lain-lain aktiviti perancangan dan pengurusan pertahanan awam.


SEDIA, PANTAS BERINTERGRITI